mutakhir

Resah telur asin rosak jika PKP dilanjutkan

Oleh Siti Rohana Idris

WANITA orang kurang upaya (OKU) resah apabila memikirkan 600 biji telur asin dibuatnya rosak kerana tidak dapat dijual sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan bermula 18 Mac lalu.

Ini berikutan Zauyah Deraman, 35, kini ‘terperangkap’ di rumah kakaknya di Kuantan, Pahang kerana datang bersama ibunya Fatimah Yusof, 73, beberapa hari sebelum PKP dilaksanakan.

Zauyah berkata, dia buntu memikirkan masalah itu kerana mereka terpaksa meninggalkan rumah di Tumpat, Kelantan dalam tempoh yang lama apabila arahan itu memasuki fasa kedua.

Katanya, lebih 20 pelanggan menghubunginya untuk mendapatkan telur asin yang diusahakannya selepas mereka membuat tempahan.

“Beberapa hari sebelum pergi ke Kuantan, saya sudah menjeruk telur itik sebanyak 600 biji dalam 20 botol dan kebanyakannya ditempah pelanggan.

“Dalam minggu lalu, ramai yang menghubungi untuk mengambil telur asin di rumah tapi saya pula masih berada di Kuantan kerana tidak dapat pulang ke rumah semula kerana PKP.

“Memang agak sedih kerana hanya itu mata pencarian saya dan ia dilakukan secara kecil-kecilan,” katanya yang memiliki kedua belah kaki dan tangan yang kecil serta bengkok sejak lahir.

Menurutnya, dia amat berharap PKP berakhir pada 14 April ini atau terpaksa berdepan kerugian lebih RM500 kerana semua telur asinnya tidak boleh dijual kerana sudah rosak.

Katanya, telur asin mempunyai tempoh luput sekitar lima bulan sebelum rosak, tetapi ia menjadi terlalu masin jika dijeruk terlalu lama dan tidak sesuai dijual kepada pelanggan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 2:34pm
    d