mutakhir

Kerajaan bantu sebaik mungkin

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN akan memastikan wujud situasi ‘menang-menang’ antara majikan dan pekerja bagi mengelak kedua-dua pihak terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, usaha membantu kedua-dua pihak perlu dilakukan secara menyeluruh berikutan mereka adalah golongan penting dalam menggerakkan ekonomi negara.

“Menteri Kabinet setiap hari bertungkus-lumus memastikan bantuan yang kita salurkan menyeluruh termasuk bagaimana kita hendak membantu majikan dan pekerja.

“Walaupun sehingga ini belum ada aduan rasmi mengenai pekerja yang diberhentikan ketika PKP, namun jika ia berlaku, kita akan berusaha untuk selesaikan sebaik mungkin,” katanya.

Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan barangan keperluan harian kepada penduduk terjejas di sekitar Kubur Panjang, Pendang, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sudah mengadakan perjumpaan bersama Kesatuan Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi mendengar pandangan mereka.

Katanya, kesemua persatuan terbabit memberi cadangan yang positif untuk bersama-sama meringankan beban kerajaan selepas ini.

“Mereka saling membantu dalam memberi pendapat berikutan ini adalah pengalaman pertama negara termasuk seluruh dunia berdepan pandemik wabak Covid-19.

“Cuma kita minta sekarang, semua pihak perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 3:44pm
    d