mutakhir

Ingkar PKP: Jatuh motosikal ketika lari dari polis

Oleh Nor Farhani Che Ad

SEORANG lelaki bukan saja ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah bertindak biadap dengan memecut motosikal dan melakukan aksi bahaya ketika cuba ditahan polis, semalam.

Bagaimanapun, buruh binaan berusia 20 tahun itu terjatuh dari motosikalnya dan berjaya ditahan di Jalan Baru Kepala Bukit, Guar Chempedak pada 10.40 malam.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, lelaki terbabit ditemui menunggang motosikal tanpa tujuan ketika tugas rondaan pemantauan dilakukan.

“Polis memintanya berhenti namun dia bertindak memecut motosikal itu sambil melakukan aksi merbahaya.

“Dia berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri selepas terjatuh dari motosikalnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahnaz berkata, berlaku pergelutan antara polis dengan lelaki terbabit sebelum dia ditahan.

Katanya, pemeriksaan pada badannya tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

“Lelaki terbabit gagal memberikan alasan munasabah berada di luar kediaman ketika tempoh PKP.

“Dia dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 4:03pm
    d