mutakhir

Individu dikuarantin dapat akses Internet percuma

Oleh Amir Abd Hamid

PENGENDALI telekomunikasi negara membantu kerajaan mengurangkan beban golongan terbabit Covid-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini apabila menawarkan kemudahan percuma.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Celcom bersetuju menyediakan servis telekomunikasi Internet melalui edaran kad SIM prabayar kepada mereka yang dikuarantin tanpa sebarang bayaran.

Beliau berkata, ia termasuk kemudahan 1GB data untuk Internet, WhatsApp Call dan Skype manakala 10GB untuk Facebook dan Instagram.

“Ia dapat memberikan kemudahan untuk mereka yang dikuarantin berhubung dengan keluarga sepanjang tempoh 14 hari.

“Astro dan Unifi TV turut memberi akses percuma untuk saluran berita dan hiburan kepada pengguna sepanjang PKP dilaksanakan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju melanjutkan tarikh tutup permohonan universiti secara dalam talian bagi calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf.

“Permohonan UPU online untuk Universiti Awam (UA), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dilanjutkan kepada 17 April.

“Sementara itu, saya nasihatkan kepada ibu bapa yang anak mereka sedang berada di institusi pengajian tinggi, kampus atau kolej supaya tidak bimbang.

“Dalam tempoh PKP sudah lama mereka berada di sana, lebih 14 hari. Saya tahu ibu bapa mula risau kedudukan anak mereka. Kerajaan bagi jaminan kebajikan anak-anak ini dan semuanya ditanggung kerajaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 4:42pm
    d