mutakhir

500 keluarga sudah terima bekalan makanan asas

Oleh Adnan Ibrahim

SEBANYAK 500 keluarga dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang sudah menerima bantuan bekalan makanan asas yang diedarkan bermula semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang RVidyananthan berkata, edaran dilakukan ketua masyarakat atau ketua UMNO cawangan setempat mengikut senarai yang sudah dimajukan sebelum ini.

Katanya, bantuan ini juga merangkumi penduduk di sembilan perkampungan Orang Asli di pekan Kahang yang sudah dikenal pasti terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Bantuan ini merupakan fasa pertama dan ia akan terus disalurkan secara berperingkat dari semasa ke semasa kepada penduduk yang masih belum menerima sebarang bekalan makanan asas daripada mana-mana pihak.

“Untuk tujuan itu, Saya mengharapkan semua pemimpin masyarakat setempat memainkan peranan masing-masing bagi memastikan tiada keluarga yang ketinggalan daripada menerima bantuan ini sama ada daripada DUN Kahang mahupun Parlimen Sembrong,” katanya.

Vidyananthan yang juga Ahli Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri berkata demikian ketika mewakili Parlimen Sembrong menerima bantuan bekalan makanan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong di Taman Sri Lambak dekat sini, hari ini.

Hadir untuk menyampaikan bantuan adalah Pegawai Pembangunan Masyarakat Kluang P Thanaselan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Abd Ghani Abd Rashid.

Sebelum itu, Vidyananthan turut menyaksikan penyerahan barangan keperluan makanan asas kepada ketua-ketua cawangan UMNO DUN Kahang, ketua masyarakat dan tok batin Orang Asli.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Berasau Sari Achu berkata, semua penduduk di kampungnya memang amat mengharapkan bantuan seperti ini dan ia penyerahannya melegakan mereka.

“Saya harap penerima di kampung saya berjimat cermat dengan bantuan ini sementara menanti bantuan seterusnya daripada kerajaan dalam masa terdekat ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 5:17pm
    d