mutakhir

Habis duit nak beli lampin pakai buang

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“KAMI tak ada duit untuk beli makanan, saya terpaksa masak beras untuk dijadikan bubur supaya dapat alas perut selama tiga hari,” kata Norma Che Man, 34.

Ibu kepada seorang anak ini berkata, suaminya, Mohamad Razali Haron, 34, hilang sumber pendapatan sebagai pemandu lori sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Katanya, wang simpanan sudah habis digunakan untuk membeli makanan serta lampin pakai buang ibunya, Siti Aishah Abdul Rahim, 69, yang tidak lagi boleh bergerak akibat strok.

“Sebelum ini, saya dan suami tinggal di Pulau Pinang. Namun sebaik sahaja ibu terjatuh di bilik air dua bulan lalu, sehingga menyebabkan penglihatannya terjejas teruk, suami mengambil keputusan berhenti kerja dan kami pulang ke kampung untuk menjaga ibu.

“Suami saya baru saja ditawarkan menjadi pemandu lori di Pendang tiga hari sebelum PKP. Sekarang tempat kerjanya tidak beroperasi dan kami hilang sumber pendapatan sekali lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Keda Lahar Tunjung, Kubur Panjang, Pendang.

Norma berkata, akibat tiada lagi sumber pendapatan, mereka sekeluarga terpaksa bergantung kepada bantuan makanan yang diberi jiran dan kenalan yang menghantar nasi bungkus dan lauk.

Bagaimanapun katanya, dia merasa malu untuk meminta dan sanggup makan bubur nasi kosong untuk mengalas perut.

“Sehinggalah beras habis, saya menitis air mata melihat tiada lagi bekalan makanan di dapur untuk dimakan. Saya mula bertanya di dalam kumpulan WhatsApp di mana kami boleh mendapatkan bekalan makanan?

“Kelmarin, saya menunggang motosikal ke tempat yang dimaklumkan ada penyerahan bantuan, Alhamdulillah ada rezeki kami untuk makan sejak dua hari lalu walaupun berlaukkan sardin.

“Cuma sekarang, saya buntu mencari duit untuk membeli lampin pakai buang ibu saya yang hampir habis. Jika tak dapat duit, memadailah dapat barang yang ibu saya perlukan,” katanya.

Sementara itu, nasib menimpa keluarga Norma mendapat perhatian Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim yang menyerahkan makanan keperluan kepada mereka semalam.

Keluarga Norma antara 2,500 keluarga yang mendapat bantuan makanan di daerah terbabit yang mula diserahkan sejak PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 9:14am
    d