mutakhir

Akur arahan kerajaan

Oleh Adnan Ibrahim

“KAMI akur dengan setiap arahan kerajaan demi untuk memastikan wabak tidak merebak,” kata Noriah Karim, 53, dari Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM), Simpang Renggam.

Bagi Noriah, melalui Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketat (PKPD) adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan bagi dia sekeluarga yang tinggal di situ sejak lebih 40 tahun lalu.

Bagaimanapun, Noriah tetap bersyukur kerana kerajaan komited membantu mereka dengan bantuan yang tidak putus.

Katanya, dengan perhatian penuh diberikan oleh setiap petugas yang dipertanggungjawabkan membuatkan mereka terharu diatas keprihatinan kerajaan dalam menangani wabak berbahaya itu.

“Walaupun kami tidak dibenarkan keluar rumah kecuali untuk mengambil barang-barang bantuan yang dihantar namun kami tidak merasa tertekan dengan keadaan ini kerana mengetahui kenapa kerajaan melakukan tindakan ini.

“Malah, setiap kali bersembahyang berjemaah bersama keluarga, kami sering memanjatkan doa supaya semua ini cepat berakhir dan semua petugas barisan hadapan tetap cekal serta diberikan kesihatan baik sepanjang menjalankan amanah diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, Noriah dan keluarganya tetap pasrah seandainya mereka terpaksa terus mengharungi semua ini dalam tempoh yang lama sekiranya itu adalah tindakan terbaik kerajaan untuk menamatkan rantaian penyebaran wabak Covid-19.

“Untuk itu, saya menyeru kepada penduduk di BBIM dan seluruh rakyat negara memohon kepada Allah supaya semua ini segera berakhir,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 1:03pm
    d