mutakhir

Jualan ikan online diperluas

Oleh BERNAMA

SELEPAS di Besut dan Dungun, jualan hasil laut menerusi kaedah online oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) negeri ini, dan dihantar terus ke pintu rumah, diperluas ke daerah Kemaman.

Pengurus Besar PNK Kemaman, Muhammad Shafiie Ramli berkata, sebelum ini, beberapa nelayan memulakan khidmat tempahan dalam talian atau online dan penghantaran ke rumah pelanggan dan ia telah menunjukkan peningkatan jualan berbanding kaedah konvensional seperti menjual kepada peraih atau di pasar seperti kebiasaan.

“Menyedari potensi besar khidmat penghantaran terus ikan dan hasil laut ke rumah pelanggan, serta menyahut seruan kerajaan dalam memastikan bekalan makanan segar ini sentiasa mencukupi, pihak kami mula mengambil inisiatif lebih besar dengan penglibatan lebih ramai nelayan di sekitar Kemaman.

“Tidak sampai 10 jam hebahan mengenai khidmat penghantaran secara percuma dilakukan di Facebook dan WhatsApp, tempahan ikan melalui PNK Kemaman telahpun mencecah sebanyak 100 kilogram (kg),” katanya.

Buat permulaan, pihaknya menjual dua jenis ikan iaitu kerisi pada harga RM14 sekilogram, kembung (RM17) dan sotong jarum (RM11) untuk pelanggan sekitar Paya Berenjut, Kuala Kemaman, Bukit Mentok, Geliga, Chukai, Binjai dan Bukit Kuang.

Muhammad Shafiie berkata, pihaknya akan mempelbagaikan lebih banyak spesies ikan dan hasil laut yang lain dalam masa terdekat untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli.

“Inisiatif kami ini diharap dapat membantu orang ramai mendapatkan bekalan ikan segar tanpa perlu keluar dari rumah sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan,” katanya.

Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, Khuzaimah Husain berkata sebanyak 5,176 kilogram (kg) ikan dan hasil laut bernilai RM47,280 berjaya dijual kepada pelanggan di seluruh Terengganu melalui kaedah penghantaran ke rumah bagi tempoh 18 Mac hingga 31 Mac lalu.

“LKIM optimis konsep perniagaan nelayan dengan menghantarnya secara terus kepada pelanggan mampu memperoleh permintaan menggalakkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 1:36pm
d