mutakhir

Pemandu serah diri

Oleh Juwan Riduan

 

am@hmetro.com

PEMANDU trak pikap yang merempuh sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Lintas-Kolombong di sini, semalam serah diri pagi tadi.

Lelaki berusia 28 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek yang kini ditahan untuk siasatan lanjut itu mengaku merempuh sekatan jalan raya kerana tidak memiliki lesen memandu.

“Malah suspek juga ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 11(1) Peraturan - Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.2) 2020.

Sementara itu, mengenai pemilik asal kenderaan yang sebelum ini diminta tampil membantu siasatan, Habibi berkata, pemilik asal kenderaan itu sudah tampil membuat laporan polis di IPD Keningau yang menyatakan kenderaan milik itu sudah dijual kepada suspek.

“Kenderaan itu sudah dijual kepada suspek namun proses pertukaran hak milik masih belum dibuat.

“Oleh itu, orang ramai yang membuat sebarang urusan jual beli kenderaan supaya membuat pertukaran hak milik mengikut peraturan yang ditetapkan bagi mengelak timbul sebarang masalah,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.35 malam Jumaat lalu, anggota keselamatan terdiri daripada polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang menjalankan sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Lintas-Kolombong nyaris dirempuh sebuah pikap Ford Ranger.

Kenderaan itu kemudian memecut laju ke arah Inanam untuk meloloskan diri.

Kejadian itu menyebabkan peralatan sekatan jalan raya seperti lampu mata arah dan papan arahan berhenti rosak namun semua anggota terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 5:00pm
    d