mutakhir

'Sabarlah' - KPN

Oleh BERNAMA

“ALASAN seperti keluar untuk membeli makanan kegemaran tidak boleh diterima sama sekali dan tindakan tegas boleh dikenakan”

Itu peringatan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador kepada orang ramai agar kekal berada di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Ingatlah, virus Covid-19 boleh dijangkiti oleh sesiapa sahaja tanpa mengenal warna kulit, bangsa, agama atau darjat, katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata, pengorbanan orang ramai dengan mematuhi PKP amat penting bagi memastikan rantaian Covid-19 di negara ini berjaya diputuskan sepenuhnya.

“Sekarang masa untuk rakyat tidak kira apa bangsa atau agama berkorban dan elaklah daripada keluar rumah kerana akan berisiko dijangkiti …sabarlah ...apabila keadaan bertambah baik mungkin PKP akan dikendurkan sedikit,” katanya.

Ditanya kemungkinan tempoh PKP disambung, Abdul Hamid berkata, ia bergantung kepada orang ramai dalam mematuhi PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak itu.

“Sekarang, data menunjukkan perkembangan positif dan peluang untuk virus merebak dilihat berkurangan,” katanya sambil mengingatkan orang ramai untuk tidak keluar rumah tanpa alasan yang munasabah.

Abdul Hamid berkata, tugas anggota polis kini semakin mencabar kerana berdepan ancaman yang tidak nampak dengan mata kasar.

“Sekarang bukan macam berperang dengan musuh manusia seperti dalam keadaan darurat ...kalau berperang kita tahu tentera mana jadi musuh dan dari arah mana mereka datang ...ini kita tidak tahu kerana (virus) ada di merata-rata tempat dan ia amat berbahaya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas Kementerian Kesihatan yang ketika ini sedang bertungkus lumus memastikan rantaian Covid-19 berjaya diputuskan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 5:24pm
    d