mutakhir

'Pengorbananmu doktor kami amat hargai' [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

 

“PERASAAN gementar mesti ada kerana semua orang tahu risiko Covid-19 adalah kematian tetapi kerja perlu didahulukan.

“Sebagai petugas barisan hadapan, saya perlu berkorban dan lupakan perasaan itu demi melaksanakan tugas,” kata Pegawai Perubatan Unit Kesihatan dan Pekerjaan Hospital Selayang Dr Diyanah Abdullah Kutti.

Dr Diyanah, 32, salah seorang daripada petugas kesihatan yang ditugaskan untuk berkhidmat di zon saringan terletak di unit kecemasan.

Berkongsi pengalamannya, Dr Diyanah berkata, beliau mula bertugas di zon itu sejak 19 Mac lalu selepas mengikuti kelas taklimat selama dua hari berkaitan skop tugasan serta cara penggunaan Pakaian Perlindungan Diri (PPE).

Memikirkan tanggungjawab yang perlu digalas, beliau akur walaupun tidak dapat bertemu keluarga selagi tugasnya sepanjang pandemik Covid-19 belum selesai.

“Sebaik diberitahu mengenai tugasan ini, perkara pertama saya perlu lakukan adalah tidak pulang ke rumah keluarga demi keselamatan mereka kerana tidak tahu status pesakit ditemui di hospital.

“Dari segi rutin kerja pula adalah mengikut jadual yang mana kami dibahagikan kepada tiga syif dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu menukar pakaian yang dipakai dari rumah kepada baju ‘scrub’ sebaik tiba di hospital.

“Kemudian kami perlu mencuci tangan dan memakai PPE sehingga tiga lapis lengkap dengan penutup kepala serta kasut disediakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Dr Diyanah, antara cabaran perlu dilaluinya dan petugas kesihatan lain adalah memakai PPE untuk tempoh yang lama berbanding sebelum ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat makan atau minum sehingga menanggalkan PPE dan membersihkan diri.

“Saya pernah pakai PPE sebelum ini tetapi tidak pernah sehingga tempoh lapan jam setiap kali bertugas.

“Sangat panas dan pakaian di dalam jadi lencun dengan peluh setiap kali menanggalkannya.

“Memandangkan saya berada di zon saringan, terdapat SOP perlu dipatuhi iaitu menanggalkan lapisan pertama pakaian setiap kali bertemu pesakit bagi mengelak risiko jangkitan untuk pesakit seterusnya,” katanya yang mempunyai hampir sembilan tahun pengalaman sebagai pegawai perubatan.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia pernah menyertai misi kemanusiaan ke Gaza pada 2015 dan banjir di Kelantan sebelum ini namun tugasan susulan wabak Covid-19 antara pengalaman mencabar yang tidak dapat dilupakan kerana risikonya yang boleh mengancam nyawa.

“Misi pertama saya adalah ke Gaza pada 2015 dan tinggal di Mesir selama dua minggu pada waktu itu dan ia tidak mudah kerana berada di kawasan perang yang tidak selamat.

“Meskipun tugasan kali ini di hospital tetapi cabarannya sama kerana membabitkan nyawa dan sedih bila membaca kisah petugas barisan hadapan dijangkiti wabak itu.

“Mulanya memang bimbang kerana tugasan ini berisiko tinggi tetapi emosi saya kini semakin baik malah gembira dapat memberi sumbangan buat negara, cuma saya tetap berdoa dijauhi daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Dr Diyanah berharap semua petugas kesihatan di barisan hadapan tidak berputus asa dan terus bersemangat untuk berganding bahu menjalankan tugasan diamanahkan.

“Nasihat saya kepada orang ramai adalah memberi kerjasama kepada petugas kesihatan dengan memaklumkan kepada mereka sekiranya ada mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19, ke luar negara atau menghadiri perhimpunan tertentu.

“Selain itu, anda perlu sentiasa kekal berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan jika tiada urusan penting dan kuatkan diri untuk menghadapi pandemik ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 5:27pm
    d