mutakhir

Beli ikan hantar dari rumah ke rumah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEKUMPULAN anak muda mengambil inisiatif melakukan penghantaran dari rumah ke rumah bagi mengelak berlaku lambakan hasil laut di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, Alor Setar.

Mereka bertindak membeli ikan-ikan terbabit daripada peniaga yang terjejas berikutan kurang pelanggan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohamad Shafie Haja Mydin, 25, yang bekerja di agensi pelancongan di Alor Setar, berkata dia bersama beberapa rakannya melakukan kerjaya baru itu kerana bercuti sehingga sekarang.

“Saya melakukan kerja ini bagi mencari pendapatan dengan membeli ikan di sini dan menjualnya dari rumah ke rumah dengan mengenakan caj tambahan RM3 mengikut lokasi penghantaran.

“Alhamdulillah, dalam sehari boleh dapat dalam RM50 hingga RM70 untuk perbelanjaan harian sekali gus membantu keluarga,” katanya ketika ditemui di pelantar ikan Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 45, berkata dia buntu memikirkan cara untuk menghabiskan jualan hasil laut kerana kurang pelanggan sejak kebelakangan ini.

Katanya, walaupun ada pemborong dari luar Kedah datang membeli, namun masalah lambakan ikan yang sukar diatasi.

“Kami buntu dengan masalah ini kerana kebanyakan pelanggan tak dapat datang membeli disebabkan PKP.

“Sekarang kami mengharapkan orang ramai datang membeli dalam jumlah yang banyak dan menjual dari rumah ke rumah,” katanya.

Katanya, dia merayu pihak berwajib supaya membantu mereka dengan membeli hasil laut berkenaan kerana sukar menghabiskan jualan walaupun sudah dipromosilam di media sosial.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 6:23pm
    d