mutakhir

Minum arak je....

Oleh Juwan Riduan

PERBUATAN dua lelaki melepak sambil meminum arak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima padah apabila ditahan polis di kawasan awam di Taman Mutiara, Bebuloh, di Labuan, pagi tadi.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20 tahun ditahan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan ketika menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan, pada 2.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kedua-dua lelaki terbabit dikatakan sedang melepak sambil meminum arak.

“Ketika pemantauan dijalankan, polis menahan dua lelaki tempatan yang sedang melepak di kawasan awam terbuka.

“Suspek gagal memberikan alasan yang munasabah ketika di soal dan mereka hanya duduk sambil meminum arak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Muhammad Farid berkata, kedua- dua suspek kemudian dibawa ke IPD Labuan untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua suspek ditahan kerana melanggar PKP fasa 2 mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) (No.2) 2020.

“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa,” katanya.

Menurutnya, polis mengingatkan orang ramai dengan tegas supaya mematuhi PKP fasa 2 yang berkuatkuasa 1 April hingga 14 April ini.

“Polis tidak akan berkompromi sama sekali kepada orang awam yang melanggar PKP fasa 2 ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 10:17pm
    d