mutakhir

'Daripada dibiarkan busuk, lebih baik sedekah'

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

KESUKARAN mendapatkan permintaan pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan beberapa pemilik kebun pisang di Kampung Ara Panjang, Manong, Kuala Kangsar mengambil keputusan untuk bersedekah kepada penduduk kampung.

Ketua kampung, Mat Abu Bakar Othman, 49, berkata, beliau bersama 14 lagi pekebun pisang di kampung itu mengambil keputusan bersama untuk berkongsi hasil tuaian pisang seberat hampir setengah tan metrik dengan penduduk kampung.

Beliau berkata, tiada peraih boleh mengambil pisang secara terus dengan mereka sepanjang PKP bahkan penjualan terus oleh pekebun kepada pembeli juga langsung tiada disebabkan operasi perniagaan gerai yang tergendala.

Mat Abu Bakar berkata, kebun pisang yang diusahakan bersama abangnya, Md Ali Othman, 54, serta anak saudara mereka, Mohd Zulhafizi Kulop Majid, 26, membabitkan keluasan 2.02 hektar.

Katanya, selain bersedekah kepada penduduk kampung yang lebih memerlukan, langkah itu bertujuan mengelakkan pembaziran apabila pisang yang dituai menjadi busuk berikutan tidak dapat bertahan lama.

“Secara keseluruhan, terdapat 15 pekebun pisang di kampung ini yang membabitkan keluasan kira-kira 12.14 hektar yang mana kami berpakat bersedekah hasil tuaian pisang kami kepada seluruh penduduk kampung.

“Harapan kami semoga Allah memurahkan rezeki disebabkan amalan ini, daripada dibiarkan busuk atau menjadikannya sebagai makanan ayam,” katanya ketika ditemui di kebun pisang diusahakannya, semalam.

Katanya, inisiatif yang dilakukan itu mendapat perhatian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang menawarkan untuk membeli hasil tuaian pisang mereka dengan separuh harga.

“Kebiasaannya kami menetapkan harga RM2.30 sekilogram untuk kebanyakan pisang yang dijual kepada peraih mahupun pembeli namun kami kemudiannya terpaksa menerima apabila Fama menawarkan untuk membelinya dengan harga RM1.40 sekilogram.

“Daripada langsung tiada pendapatan menerusi tuaian pisang, kami tetap menjualnya kepada Fama walaupun keuntungan yang diperoleh hanya sekadar ‘lepas modal’ membeli baja berbanding sebelum ini,” katanya.

Mat Abu Bakar berkata, inisiatif pemberian pisang secara percuma kepada penduduk kampung itu turut mendapat perhatian sebuah stesen televisyen tempatan.

Katanya, beberapa peraih kembali mendapatkan bekalan pisang daripada mereka dengan harga yang sepatutnya selepas kisah mengenainya disiarkan stesen televisyen walaupun jumlah yang diminta tidak sebanyak seperti sebelumnya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 11:19am
    d