mutakhir

Batal kebenaran kilang minuman keras beroperasi [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KERAJAAN membatalkan kebenaran operasi kepada kilang minuman keras seperti yang tular di media sosial semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan surat mengenainya serta-merta.

Katanya, kerajaan mengambil maklum mengenai isu yang tular berkenaan dan mesyuarat khas Kabinet diadakan hari ini turut berbincang mengenainya.

“Semalam berlegar di media sosial mempersoalkan tentang kilang arak Heineken dan Carlsberg yang dibenarkan beroperasi.

“Hari ini di dalam mesyuarat khas Kabinet kita buat keputusan bahawa kelulusan diberikan itu terbatal atau dibatalkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 554 individu ditahan dalam sekatan jalan raya dan rondaan kerana langgar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, ia peningkatan 51 peratus berbanding semalam iaitu 368 orang dan pihaknya dimaklumkan ia berlaku kerana orang ramai mengambil peluang keluar pada hujung minggu.

Menurutnya, 743 sekatan jalan raya diadakan di seluruh negara dan 293,051 kenderaan diperiksa, 25,818 (pemeriksaan mengejut) dan 4,822 premis diperiksa pihak berkuasa.


Selain itu Ismail Sabri berkata, 202 pelarian Rohingya yang ditahan di perairan Langkawi semalam akan dikuarantin di sana.

“Oleh kerana mereka sudah berada di dalam negara kita, menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kepentingan mereka.

“Kementerian Luar, Jabatan Imigresen dan Agensi Pengurusan Bencana Negara sudah pun ditugaskan untuk menyelesaikan isu yang dihadapi oleh mereka (pelarian),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 3:12pm
    d