mutakhir

Ditahan selepas rempuh sekatan PKP

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

TIGA lelaki termasuk dua beradik ditahan polis apabila cuba melarikan diri selepas kenderaan dinaiki merempuh sekatan jalan raya di Bukit Bertam, Selama, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku pada 3.30 pagi ketika anggota polis dan tentera melakukan pemeriksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad berkata, mereka yang menaki kereta Honda Civic bertindak merempuh sekatan jalan raya itu sebelum melarikan diri.

Menurutnya, berikutan itu anggota polis mengejar kenderaan itu kira-kira 20 minit sebelum berjaya menahan tiga suspek berusia 25 hingga 27 tahun di Jalan Batu 7, Selama untuk siasatan.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis menemukan beberapa senjata tajam dipercayai peralatan melapah atau menyembelih haiwan ternakan berada di dalam kenderaan terbabit.

“Polis tidak menolak kemungkinan mereka cuba mencuri haiwan ternakan berdasarkan pergerakan mencurigakan di awal pagi selain penemuan senjata tajam terbabit,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati dua beradik itu masing-masing mempunyai empat dan sembilan rekod jenayah termasuk curi kenderaan dan menghalang tugas penjawat awam.

Katanya, rakan mereka yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah dan ketiga-tiga suspek direman sehingga 10 April ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Mereka juga akan disiasat mengikut Peraturan 7 (1) Peraturan-peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020 kerana ingkar arahan PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 3:22pm
    d