mutakhir

Guna tempoh PKP kaji barangan antik

Oleh Mohd Amin Jalil

SEORANG pemburu barangan antik dan pengkaji sejarah tempatan, Wan Ahmad Arshad memanfaatkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan aktiviti penyelidikan terhadap sejarah ratusan tahun.

Malah, beliau yang juga pemilik Galeri Pusaka Moyang (GPM) sedang menyiapkan tiga buku piktografi untuk diterbitkan tidak lama lagi.

Wan Ahmad, 50, berkata tempoh PKP memberinya peluang menggunakan masa di rumah untuk membuat kajian terhadap beberapa dokumen lama dimilikinya termasuk berusia ratusan tahun.

“Saya sifatkan PKP ini sebagai tempoh bertenang yang memberi ruang meneruskan aktiviti penyelidikan dalam usaha memulihara dan mendokumentasi koleksi manuskrip silam.

“Banyak koleksi manuskrip bertulisan tangan, kitab lama dan bahan sejarah yang begitu berharga untuk dikongsi bersama dengan masyarakat negara ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Tasik Jaya Senawang, Seremban, hari ini.

Wan Ahmad berkata, selama lebih 25 tahun dia menjadi pemburu barangan antik berupa manuskrip dan artifak kerana minatnya yang mendalam, selain mahu memastikan barangan berharga terbabit tidak jatuh ke tangan orang asing.

Menurutnya, ketika ini terdapat pelbagai koleksi manuskrip berusia ratusan tahun termasuk abad ke-16 dan awal abad ke-20 serta dokumen ketika perang dunia pertama.

“Saya memiliki ratusan barang purba termasuk koleksi manuskrip dan artifak tamadun Melayu Islam yang diperoleh dari dalam dan luar negara.

“Antara manuskrip itu ialah Syair Siti Zubaidah bertulisan tangan berusia 171 tahun.

“Artifak lain termasuk kendi tinggalan tamadun dunia Melayu prasejarah di pantai timur Malaysia dan selatan Thailand,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 5:36pm
    d