mutakhir

Tak lepas sekatan jalan raya ke-9

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

“SAYA sepatutnya masuk kerja pada hujung Mac lalu tetapi terkandas di kampung disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP),” kata Nurhanani Ibrahim, 33.

Menurutnya, dia pulang ke kampungnya di Terengganu dengan menaiki bas pada 18 Mac lalu kerana keluarganya mengadakan kenduri kesyukuran dan sepatutnya kembali ke Pulau Pinang pada malam 22 Mac.

“Tetapi disebabkan PKP, bas tidak beroperasi pada waktu malam dan saya buat keputusan untuk kekal sementara di kampung.

“Namun saya mendapat arahan untuk masuk bekerja pada 28 Mac, disebabkan masih berada di kampung saya buat keputusan untuk bertolak pada awal pagi 28 Mac lalu dengan ditemani suami.

“Sepanjang perjalanan dari kampung di Merchang, Marang ke sempadan Terengganu- Kelantan, kami dibenarkan melalui lapan sekatan jalan raya menggunakan surat pengesahan majikan,” katanya ketika dihubungi di Jertih hari ini.

Hanani berkata, jika diikutkan pihak polis tidak benarkan mereka balik berdua ketika lalui sekatan kelapan tetapi dilepaskan kerana suami terpaksa hantarnya menggunakan keretanya.

“Ketika sekatan kesembilan di Pasir Puteh, Kelantan mereka dinasihatkan supaya berpatah balik walaupun ada surat majikan.

“Saya terpaksa hubungi majikan kerana tidak dapat kembali bekerja kerana tidak lepas sekatan jalan raya.

“Sebenarnya saya berasa agak gembira terkandas di kampung kerana boleh luangkan lebih masa dengan suami dan keluarga di sini. Saya dan suami sebelum ini tinggal berasingan kerana saya bekerja di Pulau Pinang manakala dia pula berada di kampung,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak dinafikan perasaan rindu pada suasana kerja itu tetap ada kerana sudah biasa bekerja sebelum ini.

“Saya jarang ambil cuti panjang dan selalunya jika tidak balik kampung saya akan bercuti bersama rakan-rakan.

“Pengalaman terkandas dalam tempoh PKP ini sangat memberi makna buat saya dan suami,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 6:04pm
    d