mutakhir

Kemaman paling ramai ditahan ingkar PKP

Oleh Zaid Salim

KEMAMAN mencatat jumlah tangkapan ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) paling tinggi di Terengganu apabila 52 orang ditahan sehingga semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, polis menahan seramai 141 individu kerana mengingkari perintah berkenaan sejak dilaksanakan 18 Mac lalu.

“Selain di Kemaman, daerah Kuala Terengganu mencatat jumlah tangkapan seramai 34 orang diikuti Besut (20), Dungun (18), Marang (15), Setiu (2) dan Hulu Terengganu kekal dengan tiada sebarang tangkapan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai di seluruh negeri itu hendaklah terus memberi kerjasama mematuhi arahan kerajaan supaya duduk di rumah dan keluar jika ada urusan mustahak.

“Hanya dengan berada di rumah sahaja cara untuk putuskan rantaian penularan Covid-19 ini.

“Jadi orang ramai wajib patuh dengan perintah ini jika mahu serangan wabak ini berakhir,” katanya ketika dihubungi hari ini

Roslee berkata, memasuki fasa kedua PKP, pihaknya akan bertindak lebih tegas dan keras dan menahan sesiapa sahaja yang ingkar perintah dan menghalang tugas penjawat awam.

Beliau berkata, tahap pematuhan masyarakat negeri ini sudah mencapai 96 peratus tetapi tidak dinafikan masih ada yang degil dengan berada di luar rumah tanpa urusan penting seperti melepak atau memancing dan pelbagai aktiviti lain.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 7:13pm
    d