mutakhir

Polis tambah kekuatan 100 peratus di sempadan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

 

POLIS menambah 100 peratus kekuatan pegawai dan anggota bertugas di kawasan sempadan darat dan perairan bagi mengawal kemasukan warga asing ke negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, inisiatif itu diambil bagi mengelak berlakunya gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara ini.

“Berdasarkan saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai gelombang ketiga Covid-19 membabitkan warga asing, kami mengambil tindakan memperketatkan kawasan sempadan darat dan perairan dengan menambah kekuatan pegawai dan anggota bertugas sebanyak 100 peratus.

“Setakat ini, terdapat 2,500 pegawai dan anggota bertugas mengawal dan meronda di sempadan darat dan pantai di seluruh negara dengan perlaksanaan pelbagai operasi termasuk Op Nyah, Op Batas, Op Taring dan Op Warisan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, ada di antara warga asing yang bergerak secara senyap ke kawasan sempadan seperti jeti untuk pulang ke negara asal masing-masing.

“Sebelum ini, kami ada menahan lima lelaki serta seorang wanita warga Bangladesh dan Myanmar yang cuba memasuki negara ini pada 19 hingga 23 Mac lalu iaitu dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Berdasarkan trend ini, pihak polis juga akan melakukan pemantauan di jeti berhampiran sempadan bagi mengelak kemasukan warga asing yang boleh mengundang penularan Covid-19,” katanya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya percaya ada pendatang asing tanpa izin dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus sekali gus mereka masuk tanpa melalui saringan.

“Kami memandang serius perkara ini dan ia juga sudah dibincangkan dengan ketiga-tiga panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu udara, darat dan laut di Kementerian Pertahanan pagi tadi.

“Hasil perbincangan hampir dua jam tadi, banyak idea dizahirkan berhubung penugasan Polis Diraja Malaysia bersama ATM untuk mengawal lokasi berkenaan dengan memperketatkan kawalan bagi mengurangkan risiko,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan memantau kegiatan penyeludupan di kawasan pantai untuk mengawal aktiviti penyeludupan rokok.

"Kehabisan bekalan rokok yang sah menyebabkan peningkatan rokok seludup di premis dan kedai runcit memandangkan ia mendapat pemintaan tinggi.

"Saya percaya aktiviti penyeludupan rokok ini berleluasa ketika ini menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menggunakan penghantar makanan untuk mengedarkan bekalan barang terlarang itu.

"Justeru, anggota bertugas di sekatan jalan raya akan melakukan pemeriksaan secara rawak terhadap penghantar makanan bagi memastikan tiada pihak membawa barang tidak sepatutnya," katanya ketika mengulas mengenai video seorang penghantar makanan membawa bekalan rokok seludup yang tular di media sosial, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 11 saat membabitkan seorang penghantar makanan menunjukkan rokok seludup yang dibawanya diletakkan dalam kotak makanan yang tular di media sosial.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 7:42pm
    d