mutakhir

Kes mahkamah Ahmad Maslan tangguh

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur, hari ini menetapkan tarikh baharu bagi mendengar permohonan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan untuk membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram dan memberi penyataan palsu dikenakan ke atasnya.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad, 52, memberitahu Bernama bahawa mahkamah menangguhkan pendengaran permohonan itu, berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

“Pihak pembelaan menerima e-mel dari mahkamah memaklumkan bahawa mahkamah telah menetapkan 15 April untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pertuduhan utama Ahmad dan permohonannya untuk membatalkan tuduhan itu,” katanya menerusi mesej WhatsApp.

Permohonan itu sepatutnya didengar hari ini di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu didakwa menerima wang itu daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 2:48pm
    d