mutakhir

Ambil kesempatan bawa ketum [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

DUA individu yang menyorok 2,000 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM60,000 di sebalik bungkusan bihun dan kotak kosong dalam sebuah lori akhirnya ditahan di Kampung Air Asahan, Batu Gajah di Tanah Merah hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, anggota yang membuat rondaan Covid-19 terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandunya berhenti pada 3.50 pagi.

Menurutnya, anggota polis kemudiannya membuat pemeriksaan secara rambang dan mengesyaki terdapat barangan yang menyalahi undang-undang dipercayai daun ketum sebelum membawa pemandu dan kelindan berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek berusia 48 dan 51 tahun itu mengakui mereka menyalahgunakan kad kuasa membawa barangan perkhidmatan perlu (essential services) bagi melepasi setiap sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan.

“Kesemua daun ketum ini dipercayai dibawa dari Kedah untuk pasaran di sekitar Pasir Puteh dan suspek juga mengaku mengambil upah sebanyak RM500 bagi satu ‘trip’ perjalanan bagi memastikan barangan terbabit sampai ke destinasi yang ditetapkan.

“Selain itu, hasil semakan laporan juga mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Pasir Mas terbabit turut mempunyai rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya ketika sidang media di IPD Tanah Merah hari ini.

Hasanuddin berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rampasan daun ketum itu adalah kes pertama dan terbesar di Kelantan setakat ini.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 10 April.

“Melihat kepada kes ini, pihak polis terpaksa mengetatkan kawalan dengan membuat pemeriksaan lebih terperinci terhadap lori atau kenderaan yang membawa barangan perkhidmatan perlu (essential services), kerana tidak mahu kes sebegini berulang lagi.

“Kami minta maaf kepada pengguna jalan raya lain andai situasi terbabit menyusahkan namun jangan salahkan pihak polis kerana ia berlaku disebabkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti tidak berfaedah seolah-olah tidak menghormati keadaan yang berlaku sekarang.

“Saya berharap orang ramai lebih peka dan memberi kerjasama baik kerana kita semua perlu berganding bahu menamatkan rantaian Covid-19 ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 3:54pm
    d