mutakhir

403 individu ditahan langgar PKP [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan 763 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 443,160 kenderaan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 36,843 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan 4,571 premis diperiksa secara mengejut oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, polis juga menahan 403 individu di sekatan jalan raya dan rondaan PDRM kerana melanggar PKP bagaimanapun jumlah ditangkap semalam menurun berbanding 554 tangkapan pada hari sebelumnya.

“Berbanding kelmarin, kadar tangkapan ini menurun kepada 26 peratus, namun, jumlah tangkapan 403 individu ini masih tinggi berbanding sebelum ini.

“Daripada jumlah yang ditahan itu, mereka yang direman adalah 347 individu dan 56 individu dijamin,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga semalam adalah sebanyak 6,451 individu.

“Kita juga menerima berita gembira daripada PDRM di mana indeks jenayah yang berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh PKP menunjukkan penurunan sebanyak 70 peratus.

“Jadi kepada rakyat yang sentiasa memberi komen di media sosial mengenai kebimbangan takut jenayah meningkat tidak perlu bimbang kerana statistik diberikan polis selama PKP menunjukkan penurunan indeks jenayah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 4:18pm
    d