mutakhir

Sindiket judi dalam talian kaut untung besar

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SINDIKET perjudian dalam talian mengaut keuntungan besar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sindiket dikesan mengambil kesempatan membuat tawaran secara rambang ke atas mana-mana nombor telefon diperoleh.

Hasil penelitian Harian Metro mendapati pelbagai platform digunakan sindiket untuk menjalankan perjudian dalam talian.

Semua platform itu boleh digunakan dengan hanya melayari enjin carian dan memuat turun perisian disediakan.

Urusan dijalankan melalui telefon pintar dan bayaran pertaruhan dibuat menerusi transaksi dalam talian ke akaun sindiket.

Menurut sumber, keuntungan sindiket perjudian dalam talian boleh mencecah sehingga jutaan ringgit sebulan ketika tempoh PKP dijalankan.

“Wang pertaruhan bagi pemain judi yang menang akan dipindahkan kepada akaun pemain menerusi transaksi dalam talian.

“Kegiatan haram mereka ini sukar dikesan, dan kini mensasarkan individu yang tidak mempunyai aktiviti ketika tempoh PKP,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan perjudian dalam talian menunjukkan peningkatan sepanjang tempoh PKP.

Menurutnya, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap sindiket berkenaan dalam masa terdekat.

“Berdasarkan maklumat diterima, kami mendapati kegiatan judi dalam talian semakin meningkat dengan pembabitan orang ramai yang berada di rumah sepanjang tempoh PKP.

“Saya bimbang wang bantuan disalurkan kerajaan kepada orang ramai akan ‘hilang’ kerana digunakan untuk berjudi,” katanya.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas dalam masa terdekat dan melancarkan operasi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 4:45pm
    d