mutakhir

Penduduk merungut air paip berbau selut

Oleh Hamzah Osman

PENDUDUK di Langkawi merungut dengan bekalan air yang dikatakan berbau selut sekali gus mengganggu aktiviti harian mereka.

Faizal Hussin, 43, dari Kampung Kelibang berkata, masalah air paip berbau itu berlaku sejak seminggu lalu dan ia dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan.

“Memang bau air paip agak kurang menyenangkan, malah dua anak saya ragu-ragu dengan kebersihan dan meminta membeli air minuman di kedai,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mazni Sahadan, 57, dari Kompleks Perumahan Guru Kuah, turut menghadapi masalah sama dan terpaksa membeli air mineral untuk memasak.

“Pihak berkaitan perlu bertindak segera mengenal pasti punca masalah, apatah lagi kami berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Masalah sama turut dikongsi warganet di media sosial Facebook dan rata-rata meminta syarikat konsesi pengendalian air di pulau itu, Taliworks Langkawi Sdn Bhd (Taliworks Langkawi) mengambil langkah segera mengatasinya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Taliworks Langkawi, Hasbullah Hussin berkata, isu air berbau itu berpunca dari kekurangan air mentah akibat kemarau.

“Purata penyaluran air bersih di Langkawi 98 juta liter setiap hari dengan 50 juta liter setiap hari dari Sungai Baru, Perlis, baki 48 juta liter setiap hari adalah sumber di Langkawi.

“Sungai di Langkawi hanya mampu membekalkan purata 19 juta liter setiap hari, itupun air di dasar sungai dengan kualiti kurang baik,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, tambahan 29 juta liter setiap hari lagi diperoleh dari Empangan Bukit Malut (EBM), dengan bekalan yang tinggal berada pada tahap 50 peratus.

Katanya, sebanyak 11 aduan berkaitan air paip berbau diterima pihaknya dan siasatan serta ujian dilakukan bagi memastikan ia selamat diminum.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 8:06pm
    d