mutakhir

Bawa pulang rakyat terkandas di Indonesia

Oleh Yun Mikail

KERAJAAN negeri mengambil langkah proaktif bagi memudahkan kepulangan rakyat Malaysia terkandas di Nunukan, Indonesia.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri sedang menguruskan perjalanan pulang warga Malaysia untuk memastikan mereka segera dikuarantin.

“Sekiranya mereka mungkin mempunyai simptom Covid-19 selepas berada di sana (Nunukan) selama beberapa minggu, apabila tiba nanti, kita perlu mengasingkan mereka.

“Kita tidak mahu rakyat Malaysia ini pulang ke sini menggunakan ‘jalan tikus’ kerana ia akan menyukarkan petugas kesihatan menjejak keberadaan mereka.

“Lebih baik kita mengawal pergerakan mereka supaya mampu menghalang penyebaran wabak terbabit,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman kepada anggota polis dan tentera yang menjalankan sekatan jalan raya di Jalan Kepayan dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji dan Panglima Briged Kelima Infantri Major Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Terdahulu, dilaporkan 98 orang termasuk 83 rakyat Malaysia terkandas di Nunukan sejak 30 Mac lalu, tiba di terminal feri Tawau hari ini.

Warganegara tempatan terdiri daripada 45 lelaki dan 44 wanita dengan pasangan Indonesia mereka dan sembilan kanak-kanak itu dibawa balik menggunakan kapal sewa khas, MV Labuan Express sebelum semuanya dihantar ke pusat kuarantin di Institut Pengajian Guru (IPG) Tawau.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menegaskan,

langkah pencegahan sedemikian turut diterapkan kepada semua penduduk Sabah yang pulang dari luar negara.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah bekerjasama dengan agensi lain untuk memastikan semua pusat kuarantin seluruh negeri berada dalam keadaan baik dan selesa dengan kemudahan terbaik.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan negeri akan melihat pembiayaan bagi sesebuah hotel dijadikan pusat kuarantin, Mohd Shafie menyatakan, pihaknya akan melihat perkara itu dari semasa ke semasa jika terdapat sebarang keperluan.

“Seperti Kuala Lumpur, beberapa hotel di Sabah juga telah menjadi pusat kuarantin sementara. Walaupun orang di Semenanjung sedang dikuarantin di hotel secara percuma, ia bukanlah kes bagi orang Sabah.

“Kita tidak boleh membiayai semua orang untuk menginap di hotel.

“Saya difahamkan ada dana daripada Kementerian Kesihatan untuk membiayai individu berkaitan di Kuala Lumpur,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 8:14pm
    d