mutakhir

Agih 100 Kg ikan bantu penduduk

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PRIHATIN dengan mereka yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang superintendan kimpalan mengambil inisiatif mengagihkan 100 kilogram ikan kembung kepada golongan itu di sekitar Manjung.

Pengagihan itu dilakukan Ismail Mohd Razak, 41, dengan bantuan beberapa rakan yang menyumbangkan dana bagi membeli bekalan ikan segar daripada nelayan Pulau Pangkor.

Ismail berkata, pengagihan itu sudah dibuat sebanyak lima kali dan dia akan membungkus sekilogram kira-kira 15 ekor ikan kembung sebelum diedarkan kepada orang ramai.

“Kami faham ramai yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan PKP dan berharap sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban mereka terutama golongan yang kurang berkemampuan.

“Pengagihan biasanya dilakukan antara 11 pagi hingga 1 tengah hari tetapi ia tidak dibuat setiap hari dan jika ada saya akan maklumkan di Facebook,” katanya ketika ditemui di Seri Manjung.

Katanya, usaha itu juga turut membantu nelayan di Pulau Pangkor dan dia berhasrat meneruskan pengagihan itu sepanjang PKP dilaksanakan.

“Sebanyak 100 kilogram ikan kembung akan diedarkan pada setiap pengagihan. Dalam berkongsi rezeki kami juga patuh dengan langkah pencegahan wabak mengikut saranan kerajaan,” katanya yang memaklumkan mereka juga memberikan sumbangan keperluan harian kepada asnaf di sekitar Manjung.

Sementara itu, pekerja kontrak, Mat Zainudin Zaini, 40, berkata, bantuan itu sangat membantu ketika bekalan makanannya semakin menyusut.

Katanya, dia bernasib baik kerana majikannya membayar separuh gaji hariannya sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, namun dia tetap mencatu perbelanjaan dan makanan demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

“Kalau ikutkan segan juga ambil ikan tetapi bantuan seperti ini sangat membantu kami yang terjejas ketika PKP dan sekilogram ikan boleh dijadikan bekalan untuk dua hingga tiga hari.

“Terima kasih kepada penyumbang semoga usaha yang dilakukan mereka ini dibalas dengan kebaikan dari Allah,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia tujuh hingga 13 tahun.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 11:27am
    d