mutakhir

Gerobok Rezeki untuk OKU, warga emas

Oleh Redzuan Muharam

DEMI meringankan beban Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penghidap angin ahmar, Raja Iskandar Datuk Raja Mansur mengambil inisiatif menjalankan projek gerobok rezeki di kafe miliknya di Kampung Sungai Penchala, di sini.

Raja Iskandar, 54, berkata projek itu bermula sejak seminggu lalu menerusi pengagihan barangan keperluan asas serta penutup mulut dan hidung kepada golongan berkenaan tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.

Katanya, projek itu dilaksanakan kerana tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April depan dan buat masa ini khusus untuk OKU dan warga emas di Kampung Sungai Penchala saja.

"Kebetulan, saya baru membuka kafe seminggu sebelum PKP bermula tetapi ditutup sementara waktu kerana akur dengan saranan kerajaan untuk tinggal di rumah.

"Apabila tempoh PKP dilanjutkan, terdetik di hati untuk membantu OKU dan warga emas di kawasan kejiranan, jadi saya gunakan kafe sebagai tempat untuk meletak serta mengagihkan barangan keperluan.

"Mereka yang mahu mengambil barangan keperluan itu boleh datang sendiri dengan membawa kad OKU atau menghantar ahli keluarga sebagai wakil dengan menunjukkan gambar kad pengenalan di dalam telefon bimbit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Raja Iskandar, barangan keperluan itu dibeli dengan wang sumbangan rakannya manakala dia bertanggungjawab membungkus dan mengagihkannya kepada penerima.

Bagi melancarkan urusan pengagihan bantuan, Raja Iskandar akan meminta bakal menerima menghubunginya terlebih dulu untuk membuat temujanji supaya mereka tidak berkumpul dalam jumlah ramai pada satu-satu masa.

"Dalam sehari , tiga atau empat penerima akan datang mengambil bantuan gerobok rezeki di kafe.

"Saya sendiri akan mengagihkannya dan selain barangan keperluan, penutup mulut dan hidung diberi kerana ada antara mereka datang tanpa memakai alat perlindungan diri itu memandangkan tiada bekalan di rumah mereka.

"Meskipun bantuan ini khusus untuk OKU dan warga emas, ada juga individu bukan warganegara yang datang dan turut dibantu kerana kita tidak mahu menyisihkan mereka," katanya yang juga bekas pereka landskap.

Raja Iskandar berkata, dia menyasar 80 individu akan menerima manfaat daripada projek berkenan.

"Sehingga kini, seramai 40 individu sudah menerima bantuan dan terima kasih kepada penyumbang yang memberi dana bagi melaksanakan inisiatif ini .

"Saya mengalukan lebih ramai individu untuk membantu menghulurkan sumbangan bagi menjayakan projek ini yang akan diteruskan selagi PKP berjalan.

"Menerusi sumbangan itu, dapatlah kita membantu dalam menghadapi tempoh yang mencabar dan saya berdoa semoga wabak ini berakhir segera," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 3:00pm
    d