mutakhir

Naikkan martabat Islam

Oleh Mahaizura Abd Malik

“KALAU saya jadi menteri agama, saya akan gunakan kuasa apa yang saya ada supaya agama Allah ini naik (dimartabatkan), bukan saja umat Islam tetapi orang kafir dan binatang pun rasa nikmat dan rahmat,” kata Ustaz Azhar Idrus (UAI).

Penceramah bebas terbabit menjawab soalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam rakaman #NgajiDenganMenteri Edisi Khas bersama UAI, semalam.

Dalam rakaman berdurasi hampir setengah jam itu, UAI sambil melawak memberi nasihat supaya mereka yang mempunyai kuasa menggunakan peluang itu ke arah kebaikan terutama dalam memartabatkan Islam.

“Bila kita jadi menteri agama, kita berkuasa (jadi) ambil peluang dengan gunakan kuasa itu supaya agama Allah jadi tinggi dan dimuliakan.

“Saya yakin Datuk (Dr Zulkifli) dalam tempoh sebulan setengah (pegang jawatan) banyak pembaharuan dan nampak bantuan daripada kerajaan.

“Insya-Allah saya doakan Datuk ada kekuatan pertolongan daripada Allah bersama kakitangan kementerian untuk menaikkan agama Allah.

“Orang bukan Islam tak perlu takut kerana bila Islam naik, maksudnya bukan Islam saja tumpang rahmat, seronok dan bahagia sebab benda baik, jadi Islam itu baik,” katanya.

Mengulas pertanyaan Dr Zulkifli mengenai apa yang boleh dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penceramah terbabit berkata, isilah masa terluang dengan perkara berfaedah termasuk memperbanyakkan amal ibadah.

“Kita duduk rumah bukan tak mati tetapi syariat duduk rumah kerana kita hendak menjaga daripada penyakit ini berjangkit.

“Jadi inilah masanya membaca al-Quran, berzikir dan berceramah, mungkin boleh tambah banyak pahala ketika tiga minggu PKP ini, kalau masih berkurung ketika Ramadan pun tiada masalah boleh perbanyakkan amalan.

“Ambil peluang luangkan masa dengan anak dan keluarga, jadi nikmat ketika PKP ini kita boleh banyak tumpukan perkara yang dahulu kita tak sempat buat sebab sibuk,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai termasuk anak muda supaya berpada-pada dalam penggunaan gajet dan telefon pintar sehingga jangan sampai memakan diri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 3:04pm
    d