mutakhir

AJK persatuan sepak takraw turut dibantu

Oleh Adnan Ibrahim

SERAMAI 30 Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Sepak Takraw Daerah Kluang (PSDK) serta dua bekas pemain Kebangsaan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu menerima sumbangan keperluan makanan asas daripada pengurusan persatuan itu hari ini.

Presidennya, Md Norhalim Md Amin berkata, walaupun semua penerima menerima Bantuan Prihatin Negara (BPN) secara berperingkat mulai kelmarin, namun bantuan yang diberikan adalah sebagai sebahagian penghargaan diatas komitmen mereka sepanjang mengendalikan perjalanan aktiviti persatuan.

“Kami sedar ada dalam kalangan AJK turut terjejas pendapatannya akibat PKP.

“Sumbangan barangan makanan asas bernilai RM100 ini adalah penambahan daripada bantuan lain yang diterima mereka,” katanya.

Md Norhalim berkata demikian selepas mengagihkan sumbangan kepada wakil setiap keluarga AJK di Kedai Koperasi IM Coop di Taman Delima 3 dekat sini.

Sementara itu, Naib Presiden PSDK Halim Mat berterima kasih atas sumbangan berkenaan.

“Ia amat besar ertinya buat penerima. Mari kita sama-sama berusaha dan berdoa supaya wabak ini segera berakhir seterusnya kita dapat menjalani rutin harian seperti biasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 5:30pm
    d