mutakhir

Kerajaan tidak akan biarkan rakyat susah [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

“KERAJAAN ingin berikan tempat yang terbaik dan percayalah kerajaan tidak akan biarkan rakyat susah,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata, rakyat perlu bersyukur dengan kemudahan pusat kuarantin yang disediakan kerajaan dalam memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan manakala kes import disekat.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan beberapa negara lain, sudah terbukti kemudahan yang disediakan kerajaan kepada rakyat adalah yang terbaik.

“Kerajaan cuba beri yang terbaik dan setiap orang (rakyat) boleh membezakan (kemudahan pusat kuarantin) dengan negara lain, ada yang tidur di lantai dan sukar dapat makanan.

“Jika ingin bersyukur, boleh bandingkan dengan tempat lain yang lebih teruk tempat kuarantin dan kita akan bersyukur,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, sehingga kini 67 daripada 112 hotel seluruh negara sudah diwartakan sebagai pusat kuarantin dan jumlah berkenaan akan meningkat.

Katanya, kuarantin ini bukan pilihan tetapi prosedur dan beliau tidak mahu menambah kes import kerana ingin menyelamatkan negara daripada peningkatan mendadak.

“Isu rakyat dikuarantin di Johor ditempatkan di ‘dorm’ juga sudah selesai kerana apa yang berlaku disebabkan jumlah yang ramai pulang dari Singapura secara serentak.

“Johor mempunyai 14 hotel yang akan dijadikan pusat kuarantin sementara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 5:34pm
    d