mutakhir

Penduduk keluar secara berkala

Oleh Siti Rohana Idris

TEMPOH perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dijalani penduduk sepanjang pinggir delta Sungai Kelantan di Tumpat tidak banyak berbeza dengan masyarakat yang tinggal di tanah besar.

Apa yang membezakan hanyalah kedai runcit yang terdapat di setiap sembilan kampung atas pulau menjadi ‘penyelamat’ untuk penduduk membeli keperluan makanan.

Seorang penduduk dari Kampung Teluk Renjuna, Ahmad Rozlan Abdullah, 52, berkata, jika sebelum ini mereka bebas keluar ke tanah besar untuk menambah stok makanan di rumah atau keperluan asas lain tapi dalam tempoh sekarang hanya kedai runcit menjadi pilihan.

“Setakat ini, penduduk atas pulau membelanjakan duit secara berhemah dan hanya membeli barang dapur yang asas dan penting sahaja iaitu beras dan lauk.

“Selain disebabkan faktor PKP, majoriti penduduk atas pulau bekerja sendiri dan apabila berlaku situasi seperti ini (PKP), kami sudah tiada pendapatan lagi kerana kerja rutin yang biasanya menerima upah secara harian,” katanya yang ditemui ketika menerima sumbangan keperluan makanan daripada seorang sukarelawan, Roslan Ismail, 48.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Rozlan yang bekerja sebagai tukang cat di Kota Bharu berkata, bagi penduduk yang mempunyai bot sendiri boleh keluar ke pasar mini di tanah besar tapi bagi yang tiada terpaksa membayar tambang jika keadaan benar-benar memerlukan.

“Biasanya kami akan ke pasar mini di sekitar Kampung Kok Majid atau Kuala Besar, Kota Bharu jika perlu membuat pembelian secara banyak.

“Tapi dengan keadaan sekarang yang mana wang simpanan semakin kurang, sumbangan orang ramai sudah cukup membuatkan kami rasa bersyukur kerana dapat meringankan beban terutama yang memiliki bilangan ahli keluarga yang ramai,” katanya.

Seorang lagi penduduk dari Kampung Pulau Seratus, Suki Mohd Noor, 50, pula berkata, penduduk kampung semakin dapat membiasakan diri dengan situasi PKP dan ramai yang keluar ke tanah besar secara berkala untuk membeli barang keperluan harian dalam kuantiti yang berpatutan.

Dia berkata, biasanya mereka sudah ada simpanan bers dan tidak dibiarkan terputus bekalan cuma barang basah terutama lauk-pauk sahaja yang perlu difikirkan.

“Bagi kami, ia tidak menjadi masalah kerana penduduk masih boleh keluar secara berkala untuk menangkap ikan di pinggir sungai dengan cara memancing sekadar untuk keperluan keluarga sahaja,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 5:51pm
    d