mutakhir

Dua lelaki ingkar PKP, rampas pistol tiruan

Oleh Juwan Riduan

DUA lelaki yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Sulaman di sini semalam, turut membawa sepucuk pistol tiruan.

Suspek ditahan kira-kira jam 3 petang apabila anggota polis memeriksa sebuah kereta Perodua Kancil dinaiki dua lelaki.

Ketika ditanya tujuan mereka keluar, salah seorang suspek memberi alasan menumpangkan rakannya untuk menghantar makanan kepada ahli keluarganya.

Bagaimanapun pemeriksaan di ruang penyimpanan barang kereta itu menemukan sepucuk pistol tiruan jenama Glock.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek mengaku membeli senjata tiruan itu di sebuah kompleks beli belah di daerah ini tahun lalu.

“Kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun ditahan kerana mengingkari PKP. Salah seorang suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan 2020).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 6:12pm
    d