mutakhir

Covid19: Bincang SOP dengan Singapura

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KERAJAAN berharap Singapura tidak mempunyai sebarang sekatan membenarkan rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan antara kerajaan (G2G) sudah dijalankan beliau bersama menteri kanan republik berkenaan.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia diarahkan berbincang dengan kementerian berkaitan di Singapura bagi mendapatkan kesepakatan dalam isu ini.

“Kementerian Sumber Manusia akan dapatkan jumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan senarai mereka yang mahu pulang ke Johor.

“Senarai ini penting untuk mengelakkan rakyat kita pulang serentak dalam jumlah ramai kerana ia akan sukarkan proses saringan dijalankan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dianggarkan terdapat 40,000 pekerja Malaysia yang berulang alik ke republik itu setiap hari.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan akan meminta Singapura berbincang dengan majikan di negara berkenaan untuk menanggung tempat tinggal dan elaun makan pekerja warga Malaysia yang tidak dapat pulang ke tanah air.

Beliau berkata, kerajaan juga akan berbincang secara lanjut kaedah saringan digunakan Singapura kepada rakyat Malaysia agar disahkan bebas dari Covid-19.

“Terdapat perbezaan dari segi prosedur operasi standard (SOP) kerana Singapura memaklumkan mereka mengikut kaedah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang tidak memerlukan ujian swab iaitu pengambilan sampel air liur dari mulut.

“Namun KKM melakukan ujian itu kepada semua rakyat yang pulang dari luar negara untuk elakkan kes import bertambah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 6:17pm
    d