mutakhir

Polis tunggu arahan saman ingkar PKP

Oleh Rosli Ilham

POLIS bersedia untuk mengenakan kompaun kepada mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya akan segera melaksanakan saman terbabit sebaik mendapat kelulusan daripada Bukit Aman.

Menurutnya, sebaik mendapat arahan itu, polis tidak akan lagi bertolak ansur dan akan terus mengeluarkan saman terhadap mereka yang masih berdegil.

“Mana-mana individu yang ditahan sama ada ketika sekatan jalan raya atau tempat lain, saman sebanyak RM1,000 akan dikenakan.

“Mereka yang disaman itu dikehendaki menjelaskan kompaun berkenaan di mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya ketika mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada anggota polis yang selesai menjalani proses kuarantin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di Chukai hari ini.

Beliau berkata, bagi kesalahan yang menghalang polis atau penjawat awam menjalankan tugas, mereka tetap akan didakwa di mahkamah.

Roslee berkata, seramai 185 individu ditahan atas kesalahan melanggar PKP di negeri itu setakati ni.

“Kita sudah membuka sebanyak 79 kertas siasatan, manakala 123 orang sudah didakwa di mahkamah.

“Kita dapati berlaku penurunan kes tangkapan individu yang ingkar PKP di negeri ini sekali gus menunjukkan masyarakat mula sedar dan dapat mematuhi PKP yang dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, daerah Hulu Terengganu merupakan kawasan yang kekal dengan tiada sebarang tangkapan sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, Roslee berkata, seramai 10 pegawai dan anggota Polis di Terengganu masih dikuarantin selepas disyaki dijangkiti Covid-19.

“Sebelum ini, seramai 40 anggota termasuk pegawai menjalani kuarantin dan selepas ujian saringan kedua, 30 daripadanya didapati negatif Covid-19.

“Kita sentiasa memastikan semua anggota yang bertugas mematuhi prosedur yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah keselamatan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 6:43pm
    d