mutakhir

3 ditahan miliki syabu

Oleh Recqueal Raimi

TIGA lelaki warga tempatan ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu di tepi sungai Kampung Laya-laya, Tuaran 6.30 petang semalam.

Mereka ditahan selepas didapati ‘melepak’ di lokasi itu tanpa mempedulikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Hamizi Halim berkata, ketiga-tiganya berusia 25 hingga 28 tahun.

“Pemeriksaan terhadap Proton Saga dinaiki suspek menemui satu paket syabu seberat 0.18 gram.

“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiganya juga positif dadah,” katanya hari ini.

Menurut beliau, semua suspek dibawa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No2) 2020.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 8:40pm
    d