mutakhir

APMM bantu komuniti maritim

Oleh Juwan Riduan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan menghulurkan bantuan kepada komuniti maritim yang memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Kali ini bantuan makanan diagihkan kepada 82 keluarga di Pulau Balambangan berikutan kesukaran penduduk di situ mendapatkan bekalan kerana perjalanan dari pulau ke tanah besar mengambil masa hampir sejam.

Bantuan disampaikan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor, diiringi Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama (M) Mohd Rosli Abdullah.

Inisiatif itu hasil kerjasama APMM Sabah dan Labuan bersama Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah (PSUP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Mohd Rosli berkata, program bersama ini dilaksanakan berikutan kesukaran penduduk di pulau berkenaan untuk mendapatkan bekalan makanan dari Kudat terutama dalam tempoh PKP.

“Kita sedar kesukaran penduduk di pulau berkenaan dalam tempoh PKP ini, lebih-lebih lagi perjalanan dari pulau ke tanah besar juga mengambil masa hampir sejam.

“Sumbangan ini diagihkan kepada 82 keluarga di pulau berkenaan berupa beras, telur, kopi, gula dan keperluan makanan lain,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, APMM dengan kerjasama PSUP dan MPKK tidak melupakan nasib komuniti maritim yang susah mendapatkan bekalan dalam tempoh PKP ini.

“Selain itu, sumbangan ini juga sebagai menghargai kerjasama yang diberikan oleh komuniti maritim khususnya penduduk di Pulau Balambangan.

“Saya juga menasihatkan komuniti maritim untuk sentiasa berada di rumah, menjaga kebersihan dan mengikut arahan kerajaan serta bersama-sama dalam menghapuskan rantaian virus pandemik ini agar negara kita kembali pulih,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk pulau Balambangan, Azmi Kaba, 40, berkata, pergerakan penduduk amat terhad dan sukar untuk ke tanah besar bagi mendapatkan bekalan makanan.

“Selain itu, kebanyakan kedai tutup dan waktu operasi kedai juga terhad. Penduduk juga akan ke laut mencari ikan hanya untuk makanan sekeluarga.

“Terima kasih kepada APMM Sabah dan Labuan, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dan MPKK membantu penduduk di sini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 8:33am
    d