mutakhir

Pemandu mabuk langgar sekatan jalan raya

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN seorang lelaki memandu dalam keadaan mabuk hingga melanggar sekatan jalan raya Op Covid-19 di Kilometer 0.3, Lebuhraya Sprint menghala Plaza Tol Damansara, di Petaling Jaya, semalam, mengundang padah apabila dia ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 33 tahun itu yang memandu kereta Nissan Almerea memandu secara melulu dan melanggar sekatan jalan raya di lokasi berkenaan jam 9.15 malam.

“Bagaimanapun, tiada anggota bertugas cedera dalam kejadian itu. Hasil ujian pernafasan alkohol dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif mengambil alkohol daripada jumlah dibenarkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek juga disiasat mengikut 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara berbahaya, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut menahan 11 individu lain dalam lima tangkapan berasingan di sekitar daerah ini, semalam.

“Dalam tangkapan pertama jam 12.30 tengah hari, kami menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun di sekatan jalan raya di Lebuhraya Sprint Damansara kerana gagal memberikan alasan munasabah mengenai pergerakannya.

“Pada waktu sama, kami turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 37 tahun di Jalan PJU 3/15 Kota Damansara kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu dan gagal memberikan alasan munasabah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menahan dua lelaki masing-masing berusia 50 dan 58 tahun di hadapan sebuah premis di Sungai Way kerana melepak.

“Kami turut menahan dua lelaki warga Nepal dan seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 21 hingga 49 tahun di sebuah blok apartmen di Damansara kerana berkumpul.

“Polis juga menahan empat lelaki berusia antara 23 hingga 34 tahun di lorong belakang Jalan PJS 8/2 Sunway Mentari Sungai Way kerana berkumpul,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 4:42pm
    d