mutakhir

Peserta PPK bakal terima moratorium

Oleh Nazri Abu

AGENSI Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bakal memberi penangguhan pembayaran kepada semua peserta Program Pengurusan Kredit (PPK).

Ketua AKPK Melaka, Syaiful Anuar Bokhari berkata, moratorium terbabit dilaksana secara automatik dan peserta tidak perlu memohon dengan syarat PPK masih aktif dan bukannya sudah ditamatkan.

Beliau berkata, sekiranya tertunggak dan tidak melebihi 90 hari, peserta layak mendapatkan moratorium untuk semua jenis pinjaman dalam PPK iaitu pinjaman perumahan, peribadi, kenderaan, mikro, PTPTN, TEKUN serta pinjaman kad kredit yang dibayar terus kepada AKPK.

“Ia akan ditangguhkan bagi kemudahan potongan melalui Angkasa. Pembayaran melalui potongan gaji turut layak, tetapi perlu memaklumkan kepada majikan masing-masing.

“Tempoh penangguhan bermula 1 April sehingga 30 September, sekali gus bermakna pembayaran bagi Mac 2020 perlu dijelaskan dan pembayaran bermula seperti biasa pada Oktober 2020,” katanya.

Beliau berkata, walaupun ditangguhkan untuk enam bulan, pihak bank bersetuju untuk tidak mengenakan caj kompaun atau denda lewat bayar .

Menurutnya, bagi pinjaman konvensional, faedah tetap akan dikenakan atas baki pinjaman semasa tempoh moratorium.

Pelanggan boleh mendapatkan khidmat AKPK dengan mengisi google form di pautan http://bit.ly/AKPKdmp2020 atau https://www.surveymonkey.com/r/98PKDP6 atau layari laman web AKPK di www.akpk.org.my.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 5:23pm
    d