mutakhir

Tujuh kena kompuan RM1,000

Oleh Mohd Roji Kawi

TUJUH individu menjadi kumpulan pertama di negeri ini yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikompaun RM1,000 hari ini, selepas ditahan keluar tanpa alasan munasabah.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, semua mereka ditahan dalam tempoh 24 jam mulai jam 8 pagi semalam hingga 8 pagi hari ini dalam operasi sekitar Kuching.

"Mereka ditahan kerana ingkar PKP, kemudian dibawa balik ke balai polis dan seterusnya diberikan notis untuk membayar kompaun RM1,000 dalam tempoh 14 hari.

"Tindakan kompaun bagi individu yang ingkar PKP adalah arahan terbaru dari Bukit Aman yang bermula semalam dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dev berkata, jika mereka yang ditahan itu enggan membayar kompaun, mereka boleh memilih untuk didakwa di mahkamah.

Sementara itu, beliau berkata, sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu hingga kini, seramai 512 orang ditahan di seluruh negeri.

Hari ini saja, seramai 27 ditahan iaitu 13 orang di Miri, Kuching (12), Kota Samarahan (1) dan Lundu (1).

"Jumlah keseluruhan yang sudah didakwa sehingga semalam adalah seramai 402 orang, manakala hari ini , seramai 19 orang didakwa, 12 daripadanya mengaku bersalah.

"Selain itu, kita juga telah mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga orang yang gagal hadir ke mahkamah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 5:38pm
    d