mutakhir

JPJ sedia bantu PDRM, ATM

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

JABATAN Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) bersedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi penugasan di semua sekatan jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, ia selaras dengan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung perkara itu, hari ini.

“Sehubungan itu, JPJ akan berhubung dengan pihak PDRM bagi tujuan penyelarasan tugasan dan pengaturan anggota supaya operasi dirancang mematuhi garis panduan (SOP) ditetapkan.

“JPJ sentiasa komited memberikan khidmat bakti kepada masyarakat khususnya dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pihaknya bersetuju dengan permintaan JPJ untuk membantu PDRM dan ATM melaksanakan penugasan sekatan jalan raya.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri yang berlangsung hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 5:47pm
    d