mutakhir

Dua remaja, janda hidu gam ditahan ingkar PKP

Oleh Juwan Riduan

DUA remaja dan seorang janda bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah turut dalam keadaan khayal selepas menghidu gam di kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu di sini, semalam.

Dua remaja lelaki berusia 12 dan 16 tahun dan wanita berusia 20 tahun ditahan anggota polis kira-kira jam 12 tengah malam dalam rondaan Op Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketiga-tiga individu itu ditahan selepas mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika diperiksa mereka mendakwa berada di kawasan pasar untuk menemui rakan.

“Mereka turut mengaku menghidu gam. Ketiga-tiga individu itu ditahan kerana melanggar PKP yang sedang berkuat kuasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, semua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 10:32am
    d