mutakhir

FRU bantu IPD Petaling Jaya [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

IBU PEJABAT Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima bantuan kekuatan pegawai dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi membantu penugasan sekatan jalan raya Op Covid-19 di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya sudah menggunakan kekuatan maksimum membabitkan 130 pegawai dan anggota khusus untuk penugasan sekatan jalan raya di daerah ini sejak 18 Mac lalu.

“Hari ini adalah hari pertama empat pegawai dan 80 anggota FRU ditugaskan di lima sekatan jalan raya di daerah ini.

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran mereka membantu penugasan sekatan jalan raya di daerah ini sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, keadaan lalu lintas di lokasi sekatan jalan raya baharu di Jalan PJU 7/1, Mutiara Damansara masih terkawal dengan kebanyakan kenderaan melalui laluan berkenaan membabitkan individu berkhidmat dalam perkhidmatan penting.

“Namun, masih ada sebahagian penduduk di kawasan kejiranan terutama dari TTDI yang datang ke sini dengan alasan untuk membeli barangan keperluan di kawasan ini. Jadi, kami akan sarankan mereka membeli barang keperluan di kawasan berhampiran.

“Malah, ada juga penduduk di Mutiara Damansara yang mahu pergi ke pasar di luar dengan alasan ingin membeli ikan yang sudah disiang. Bagi kami, alasan itu agak remeh dan akan meminta mereka melakukan pusingan U,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk membuat pos kawalan bergerak bagi menempatkan peronda pejalan kaki di kawasan tertentu di daerah ini.

“Rancangan itu masih di peringkat kajian kerana kami mahu melihat kaedah yang akan digunakan nanti dengan menggunakan kekuatan anggota berjalan kaki di lokasi terbabit untuk melakukan pemantauan.

“Banyak benda yang saya perlu tengok dalam perkara ini dari segi kekuatan anggota dan logistik selain mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dilaksanakan pos kawalan bergerak berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan pihaknya mengeluarkan sembilan kompaun bagi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324) di daerah ini, semalam.

“Semua sembilan individu berkenaan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 selepas memberi alasan remeh apabila berkumpul kerana hanya kerana mahu minum teh bersama rakan.

“Malah, kebanyakan mereka yang dikenakan tindakan kompaun pada waktu malam selepas didapati keluar 10 malam dengan alasan mahu menghantar barang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 11:39am
    d