mutakhir

73 ingkar PKP dikompaun

Oleh Mohd Roji Kawi

SARAWAK mencatat jumlah tertinggi individu yang dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh 24 jam hingga 8 pagi ini dengan jumlah keseluruhan seramai 73 orang.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, daerah Padawan merekodkan jumlah paling ramai yang dikompaun RM1,000 iaitu seramai 22 orang, diikuti Kuching (19), Sibu (12), Sarikei (8), Kota Samarahan (3), Bau (3), Saratok (2), Simunjan (1), Kapit (1), Kanowit (1) dan Matu Daro (1).

Beliau berkata, seramai 14 lagi ditangkap kerana ingkar PKP iaitu Betong (7), Limbang (4), Miri (1), Sibu (1) dan Kanowit (1).

“Mereka yang dikompaun dan ditangkap didapati gagal memberikan alasan munasabah untuk berada di jalan raya dan tempat awam.

“Tangkapan masih dilakukan di beberapa daerah kerana masih belum menerima buku kompaun dan ada juga yang ditangkap itu enggan membayar kompaun sebaliknya memilih untuk dibicarakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dev berkata, semalam seramai 33 orang didakwa di mahkamah dengan 30 daripadanya mengaku bersalah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 12:50pm
    d