mutakhir

Sektor ekonomi terpilih boleh beroperasi [METROTV]

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Mahaizura Abd Malik

KERAJAAN bersetuju membenarkan beberapa sektor ekonomi terpilih untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga bermula 15 April.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor itu sama ada perusahaan, perkilangan dan perniagaan akan dibuka secara berperingkat mengikut garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

"Sebuah jawatankuasa khas Kabinet yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kanan Pertahanan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor ekonomi yang terpilih untuk dibuka secara berperingkat.

"Saya ingin tegaskan bahawa pembukaan beberapa sektor yang terhad ini bukan bermaksud kita melonggarkan perintah kawalan pergerakan. Perintah ini masih berkuat kuasa dan semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mestilah dipatuhi," katanya dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di seluruh negara, hari ini.

Beliau juga mengingatkan sektor pemacu ekonomi negara itu untuk tidak melanggar peraturan jika enggan kebenaran beroperasi ditarik balik.

Katanya, pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat kerajaan dalam masa terdekat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 6:14pm
    d