mutakhir

Lancar kutipan untuk bantu Orang Asli

Oleh Siti Rohana Idris

SIMPATI dengan nasib masyarakat Orang Asli di Kampung Pelug, Gua Musang yang kehabisan bekalan makanan, seorang penduduk melancarkan kutipan wang bagi membeli barangan keperluan harian.

Bantuan itu dibuat Nur Amalina Ismail, 28, menerusi media sosial sejak minggu lalu kerana menyedari penduduk kehabisan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak boleh bekerja.

Nur Amalina yang berkahwin dengan jejaka suku kaum Temiar, Mohd Fardhu Angah, 30, berkata dia berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM4,000 dalam tempoh empat hari.

Katanya, dia bersama suami dan beberapa penduduk kemudian membeli barangan keperluan harian untuk diagih-agihkan kepada 65 keluarga di kampung itu.

“Kebanyakan penduduk yang menerima sumbangan ini begitu gembira dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang.

“Majoriti penyumbang tidak dikenali kerana saya lancarkan kutipan menerusi laman sosial dan ramai yang prihatin menyebarkan perkongsian itu,” katanya yang berasal dari Bunut Payong, Kota Bharu.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia juga bercadang membuat agihan baki sumbangan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Tuel kerana turut berada dalam keadaan terdesak.

Menurutnya, pihak berwajib turut menghantar bekalan makanan, namun tidak mencukupi dan menyeluruh.

“Saya bersimpati kerana ada antara mereka catu makanan, ada yang hanya bersarapan dengan air masak, makan tengah hari hanya nasi kosong bersama sayur dan malamnya nasi goreng kosong.

“Memang saya turut merasai sendiri kesusahan mereka kerana menetap di kampung ini sejak tujuh tahun lalu dan boleh membantu setakat yang mampu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 6:42pm
    d