mutakhir

Sumbangan buat mereka yang terjejas

Oleh Siti Rohana Idris

SERAMAI 50 pengayuh beca dan asnaf menerima sumbangan barangan keperluan asas bagi meringankan beban golongan yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumbangan disampaikan Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan (KSKK) Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Kelantan.

Yang DiPertua KSKK PKINK, Nor Azuwan Salleh berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib individu yang hilang punca pencarian dan terputus bekalan makanan.

Menurutnya, mereka terdiri pengayuh beca, ibu tunggal, warga emas dan individu yang bekerja sendiri berdepan kesempitan hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Sumbangan ini secara tidak langsung dapat meringankan beban setiap keluarga yang tidak dapat keluar mencari rezeki sepanjang tempoh PKP.

“Nasib golongan itu perlu diberi perhatian untuk jangka masa lama kerana mengalami kesukaran dalam meneruskan kelangsungan hidup,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihaknya menyeru agar mana-mana pihak dapat menghulurkan sumbangan terutama kepada pengayuh beca yang tiada pendapatan tetap.

“Bantuan makanan amat diperlukan khususnya buat individu yang bekerja sendiri serta pekerja bergaji hari,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 6:43pm
    d