mutakhir

Puas hati siasatan polis

Oleh Nur Izzati Mohamad

KELUARGA lima beradik yatim piatu yang kematian ibu bapa mereka akibat kemalangan jalan raya berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan polis apabila sentiasa memaklumkan perkembangan setiap masa.

Noorlyana Hasan, 25, berkata, pegawai penyiasat polis yang mengendalikan kes kemalangan menimpa kakaknya, Zuriana Hasan, 35 dan abang iparnya, Khairizul Mohamad Noor, 38, sentiasa menghubunginya bagi memaklumkan perkembangan siasatan.

Menurutnya, suspek yang melanggar motosikal ditunggang abang ipar dan dibonceng kakaknya itu kini dibebaskan dengan jaminan polis.

“Bagaimanapun, pegawai penyiasat memberitahu kepada saya kes ini akan dibawa ke mahkamah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selesai.

“Saya berasa lega dan berterima kasih kepada pihak polis yang menjalankan siasatan dengan adil demi kakak dan abang ipar supaya keadilan dapat ditegakkan,”katanya.

Noorlyana berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ke rumahnya di Bagan Jermal, di Butterworth, hari ini.

Dalam kunjungan itu, polis turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga hasil kutipan daripada anggota polis dan tentera kawasan itu.

Sementara itu, anak pertama kepada Allahyarham Zuriana dan Khairizul, Nur Afni Nirwani Khairizul, 16, berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib dirinya dan adik-adiknya.

“Tok Wan dan Maksu hampir setiap hari mendapat panggilan daripada individu yang ingin membantu kami lima beradik.

“Saya bersyukur dan berterima kasih sangat atas bantuan yang dihulurkan kepada kami. Terima kasih juga kerana mengirimkan doa serta kata-kata semangat,” katanya.

Lima beradik itu menjadi yatim piatu apabila ibu bapa mereka terbabit kemalangan dalam kejadian 9 Februari lalu dipercayai dilanggar pemandu mabuk.

Bapa mereka maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala ibu meninggal dunia pada Ahad lalu selepas dua bulan koma ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 6:50pm
    d