mutakhir

Menangis selepas dijatuhi hukuman denda, penjara

Oleh Amir Mamat

SEORANG nelayan yang mengaku salah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, menangis teresak-esak selepas dijatuhi hukuman penjara dan denda.

Tertuduh, Mohd Hafis Ismail, 38, dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Majistret Teoh Shu Yee selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh Jurubahasa Mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hafis dengan sengaja menghalang tugas polis menerusi cara melarikan diri daripada pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Tun Sri Lanang, Ayer Keroh, kira-kira 12.30 tengah malam kelmarin.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang dihukum mengikut Perkara 7 Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Wai Yi meminta supaya tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada dirinya serta masyarakat kerana cuba melarikan diri dari pemeriksaan polis.

Tertuduh diwakili peguam, S Amritpal Singh.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan bermula dari tarikh dia ditangkap selain denda RM3,000 dan tambahan penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hukuman perlu berjalan serentak dengan 14 hari penjara bagi kesalahan kedua.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 6:57pm
    d