mutakhir

138 kes positif Covid-19 Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan 1,634 ujian saringan Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang.

Hasil ujian berkenaan mendapati 138 kes positif Covid-19 sementara 1,496 lagi adalah negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 79 kes positif dikesan sebelum PKPD manakala 59 kes positif dikesan selepas PKPD dikuatkuasakan.

Menurutnya, terdapat tiga kes kematian Covid-19 dari kawasan ini iaitu kes ke-1114, kes ke-1251 dan kes ke-2627.

“Kawasan sekitar Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid dikenal pasti (Buffer Zone) iaitu meliputi Kampung Dato Ibrahim Majid, Kampung Parit Penghulu, Kampung Parit Salleh dan Taman Seri Bayu yang dianggarkan mempunyai penduduk seramai 1,800 orang.

“Pengesanan kes secara aktif (ACD) dilaksanakan ke atas sekitar 1,500 orang dengan 359 orang daripada mereka menjalani saringan sampel berdasarkan penilaian risiko,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 13 kes didapati positif, 88 kes negatif dan 258 kes dalam proses ujian makmal.

“Pelbagai aktiviti dijalankan semasa tempoh PKPD, termasuk bancian penduduk, Active Case Detection (ACD) rumah ke rumah, pengambilan sampel, aktiviti disinfeksi berkaitan dan promosi kesihatan.

“Bagi kes yang disahkan positif Covid-19, pesakit akan dikuarantin di Pusat Kuarantin Latihan JAKOA Kluang,” katanya.

Beliau berkata, KKM juga ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi pada setiap masa dengan kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun serta sentiasa amalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 7:36pm
    d